Salam Maal Hijrah 1432H buat semua. Semoga dengan azam yang baru dan keinginan yang membara untuk mencapai segala cita-cita, bakal membuahkan hasilnya. Pokoknya adalah keinginan untuk berubah dan usaha yang tak mengenal batas jemu. Andai tidak tercapai, mudahan juga segala pengalaman dan ranjau hidup yang telah ditempuhi mampu menjadi bekal untuk lebih berjaya. Maal Hijrah begitu significant dengan pengertian hidup, bukan sahaja dalam erti perjalanan hidup dari satu tempat ke tempat lain tetapi juga sebagai bentuk perubahan hidup dari yang baik ke lebih baik.

Saya masih teringatkan tazkirah Isyak sebentar tadi yang di sampaikan oleh Imam Univ Mosq, Sheikh Mohsin. Beliau mengingatkan bahawa manusia di muka bumi ini hanyalah musafir yang tidak terhenti perjalanannya sehingga sampai ke destinasi akhirnya iaitu bertemu dengan Maha Pencipta. Apakah bekal yang dibawa dan apakah persiapan yang telah disediakan, semuanya tergantung pada diri sendiri. Seorang musafir yang berjalan akan berteduh di bawah lindungan awan yang redup, menghilangkan lelah dan dahaga, lalu apabila sudah berdaya, maka perjalanan tersebut diteruskan kembali. Begitulah ibaratnya kehidupan ini. Manusia berpindah-pindah mencari kesesuaian dan kejayaan. Ada yang berhijrah jauh mencari ilmu dan sebahagiannya mencari rezeki dan kekayaan. Destinasi yang dituju tentulah suatu tempat yang menjanjikan kebaikan, sesuai dengan keinginan untuk berhijrah. Walau apa pun jua matlamat perjalanan itu, akhirnya perjalanan tetap akan terhenti bila mana ajal datang menjemput. Lalu apakah perjalanan yang telah dilalui itu mencukupi untuk perjalanan seterusnya di alam yang lebih abadi. Wallahi, saya sendiri masih tidak mempunyai jawapan untuk perjalanan hidup ini. Perjalanan saya masih panjang, kerana begitu banyak keinginan yang belum tercapai. Walau begitu, hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui.

Keberadaan saya di Swansea ini hanyalah salah satu episod dalam destinasi yang masih panjang. Matlamatnya mencari sebuah perubahan. Walaupun ianya sebuah kehidupan yang begitu mencabar dengan pelbagai senyum tangis, namun semuanya tidak pernah menjadi sia-sia. Semuanya adalah pengalaman yang sangat berharga. Andainya perjuangan saya di sini suatu hari nanti berakhir, mudahan saya dapat melangkah ke destinasi yang saya impikan, melangkah dengan semangat dan kekuatan. Seorang sahabat saya bakal kembali ke pangkuan keluarganya. Melihat kegembiraan yang tidak terhingga di wajahnya, saya begitu teruja. Andai saja saya mampu untuk mengikuti jejak begitu, tentunya terasa sangat bahagia, namun masanya belum tiba. Hidup sebagai perantau memang mengujakan, namun kembali ke negara tercinta lebih mengujakan dan membawa seribu makna. Dengan segala yang telah dikutip di sini, bakal menjadi bakti dalam hijrah beliau seterusnya. Perjalanan tidak pernah akan terhenti, maka saya sentiasa berdoa beliau akan berjaya di destinasi seterusnya. Seorang teman yang baik itu ibarat ranting yang cantik, apabila patah maka tiadalah yang dapat mengantikannya. Walaupun setelah patah, kecantikan ranting itu tetap akan kekal dan memberi manfaat.


Jamuan perpisahan di Miah's.


Senyuman untuk sebuah masa hadapan yang cemerlang

0 Comments:

Post a Comment