Sudah dua hari dalam tahun 2011, mungkin agak terlambat tetapi saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Tahun Baru 2011. Semoga semua impian dan azam baru yang telah direncanakan akan mencapai sasarannya. Saya percaya bukan mudah untuk kita mengharapkan impian tersebut menjadi kenyataan, namun ianya tidak mustahil dengan kerja keras. Tahun 2010 yang telah berlabuh tentunya meninggalkan pelbagai peristiwa manis dan pahit. Walau apapun yang telah dilalui sepanjang tahun lalu, suka atau duka ianya adalah sebahagian daripada fitrah kehidupan yang terpaksa ditempuhi. Pelbagai kenangan dan kejayaan yang datang mengamit tentunya sesuatu yang perlu disyukuri manakala kegagalan yang tercatat di dalam diari hadapilah dengan tabah, sebagai panduan untuk menempuhi tahun 2011 yang masih panjang. Mungkin ada sesuatu yang boleh dipelajari dari sebuah kegagalan.

Saya kembali merenung pencapaian disepanjang tahun lalu. Mungkin tidak banyak yang boleh dibanggakan malah saya merasakan terlalu banyak masa yang telah dipersiakan. Tentunya pencapaian terbaik saya sepanjang tahun lalu yang tetap terpahat diingatan adalah terpilih sebagai fellow di IAPS dan ACME, memenangi "The Best Presenter" di UK-Malaysia-Ireland Science Conference, Belfast serta tercalon sebagai "The Best Young Researcher" di ICPS2010, Manchester. Semua pencapaian ini memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit dan sokongan daripada orang sekeliling. Mudahan tahun 2011 ini bakal membawa lebih banyak makna. Impian besar saya untuk tahun 2011 adalah menghabiskan penyelidikan yang sedang berjalan dengan jayanya, serta dapat kembali ke tanahair untuk menabur bakti. Masih terlalu banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum semua impian ini benar-benar berakhir didestinasinya.

Sambutan tahun baru yang meriah dengan percikkan bunga api begitu sinonim di merata tempat. Saya sendiri berpeluang merasai kemeriahan malam tersebut, meraikannya di Theme River London bersama seorang sahabat. Semuanya adalah perancangan di saat-saat akhir, namun sangat bersyukur kerana dapat menempah bilik hotel yang esklusif di Hilton Paddington dan menyaksikan bunga api betul-betul di hadapan London Eye. Masakan tidak, kami menunggu 4 jam di sana untuk mendapatkan lokasi yang benar-benar strategik.


Pertunjukkan bunga api tepat 1 saat sebelum tahun 2011


Cahaya yang menerangi diharapkan memberi sinar untuk tahun 2011


Di hadapan London Eye selepas pertunjukkan bunga api

0 Comments:

Post a Comment