Azam Yang Tertunda

Tinggal beberapa jam lagi sebelum tahun 2009 melabuhkan tirai malamnya. Entah mengapa saya mengambil keputusan untuk berada di pejabat menyelesaikan beberapa tugasan yang tertangguh sejak cuti christmas. Sedangkan ramai teman-teman saya sudah merancang untuk berhibur dan bersuka-ria, saya merasakan muhasabah malam sambil menyaksikan percikan bunga api dari tingkap kaca pejabat akan memberikan ilham yang tersendiri. Malam ini bulan muncul separuh muram dan bintang yang sekecilnya pun tidak menjenguk. Seakan langit kelam bukan alasan, juga angin menari tak sepenuh hati. Bila hati kosong maka isi fikiran pun tidak bererti. Kasih sayang di dalam hati ibarat sang pohon cedar. Bahkan seorang pun berujar jagalah hati, jangan sehingga dinodai. Sang awan berarak perlahan, pecah bayang-bayang bulan dalam ombak laut dan dahan-dahan di hati bergegaran. Bilakah engkau mahu berdamai dengan diriku wahai hati. Saya mula terfikir bahawa menjaga hati lebih baik daripada memiliki azam yang tak pernah tercapai.

Azam baru untuk tahun baru. Sebaliknya saya masih kekal dengan azam lama. Azam yang tidak pernah tercapai matlamatnya. Justeru tahun baru ini hanyalah satu pembaharuan untuk azam lama namun impian yang baru. Azam dan impian dua perkara yang terkait rapat. Kelihatannya jalan bagi sebuah impian adalah bermula dengan keazaman dan kesudahannya akan memberikan nikmat terbesar dalam hidup. Kerja keras untuk mencapai matlamat disamping tidak melupakan kewajiban hakiki adalah kunci kepada kejayaan. Kegagalan seringkali menjadi penghalang sebuah impian. Semuanya kerana perancangan yang diatur bukan di tangan manusia. Kerana itulah, kegagalan adalah guru terbaik dalam hidup. Kegagalan bagi saya adalah kejayaan yang tertunda. Mungkin kerana hikmah kegagalan memiliki kuasa yang luar biasa bagi orang yang berfikir, maka sudah tentu sebuah kegagalan itu akan banyak mengajar kita untuk tetap berjaya. Paling tidak ia akan membentuk hati kita untuk tetap istiqomah dan tidak mudah berputus asa.

Walau soal hidup dan rezeki pada dasarnya telah diatur. Namun ada ruang yang telah diciptakan agar terus berusaha merebut keinginan. Seandainya kita melihat tanpa memikirkan perkara yang terbentang di depan mata, memang kita tidak akan dapat merasai keindahan yang telah diciptakan. Semestinya di akhir destinasi mengejar impian, kita pasti akan bertemu jawapan mengapa ini dijadikan sebegini rupa dan itu dibentuk sebegitu cita. Saya menyedari memiliki azam dan impian bukanlah sesuatu yang mudah. Semua ini tidak pernah akan sempurna kerana disebaliknya tetap ada yang akan menghalang. Namun, selalulah memiliki kekuatan untuk terus berjuang melunaskan sebuah impian walaupun menyedari kegagalan yang menanti di hujung garisan. Asal saja merasai kegagalan mampu menyedarkan kita tentang nilai sebuah kehidupan, sekurang-kurangnya sebuah kegagalan itu tidak akan pernah menjadi sia-sia. Kerana sebuah kegagalan itu lebih baik dan lebih bererti berbanding memiliki sebuah impian tetapi tidak pernah berusaha mencapainya. Selamat tahun baru dan semoga 2010 menjanjikan sesuatu yang lebih baik daripada sebelumnya.


Menjadi kelaziman untuk warga Swansea berkumpul. Secara kebetulan malam christmas waktu yang sesuai untuk majlis makan-makan. Bukan untuk meraikan christmas, tetapi mengambil kesempatan terluang ini merapatkan saff ukhwah.


Kebetulan James masih ingin meraikan sesuatu di malam tersebut. Sekadar menghormati sesorang yang amat menghormati kita. Saya tidak tahu permainan ini bermotifkan apa, tetapi agak mengujakan.


Masing-masing mencari sesuatu yang diperolehi. Saya mendapat peralatan jangka lukis berwarna hijau yang comel. Ada juga yang tak dapat apa-apa. Begitulah takdir kejayaan.


Jejaka-jejaka yang masih setia menghabiskan masa mereka di bumi Abertawe. Walau hujan, salji, panas atau ribut petir sekalipun, di sinilah destinasi sebuah impian bermula. Namun perjalanan getir ini masih terlalu panjang.


Memiliki impian memerlukan azam yang besar iaitu menjadi pemenang. Bukan seorang sahaja yang berhak menjadi pemenang, semua orang juga berhak. Malah sebuah kejayaan itu harus dikongsi dengan semua orang.

0 Comments:

Post a Comment