Terindah Sebuah Peperiksaan

Cuti hari isnin yang begitu membosankan. Cuaca di luar masih hujan membuatkan saya berkurung di dalam rumah tanpa sebarang aktiviti.

Hujung minggu di Brynmill:-
Sabtu tadi saya bertandang ke rumah baru Abir di Brynmill Crescent. Menghadiri majlis doa selamat untuk rumah baru beliau selain solat hajat dan tahlil ringkas sempena menghadapi peperiksaan. Insya'allah, saya difahamkan pelajar-pelajar di Swansea University kebanyakkan akan mula berperang di dewan peperiksaan bermula minggu hadapan. Saya mendoakan yang terbaik buat mereka ini. Sesi menjamu selera menjadi begitu gamat dengan pelbagai cerita. Mana tidaknya, semua tetamu hanyalah para bujangan Swansea. Mahu tergelak rasanya, bila masing-masing bertanya tarikh bermula peperiksaan. Abir barangkali terlupa bahawa saya dan Brother Farhan sudah lama melunaskan semua peperiksaan rasmi pendidikan. Tertinggal buat kami, hanyalah meneruskan tradisi peperiksaan itu sendiri di samping cebisan pengalaman buat menongkah arus.

Peperiksaan adalah saat yang indah:-
Saya benar-benar merindui saat-saat menjadi pelajar yang sentiasa sibuk dengan ujian dan peperiksaan. Semua kenangan saat-saat menghadapai peperiksaan sesuatu yang indah pada saya. Waktu di mana kita menguruskan masa untuk mengulangkaji pelajaran, belajar secara berkumpulan dan bertapa di dalam perpustakaan hingga larut malam. Walaupun semuanya itu perit bagai penyeksaan, namun ia pengalaman hidup yang begitu mengujakan. Apatah lagi keputusan daripada perjuangan itu sesuatu yang boleh dibanggakan. Ingin rasanya mengulangi saat-saat cemas dan gemuruh menghadapi peperiksaan serta kusut masai memenuhi setiap masa yang ada untuk menelaah. Satu kenangan yang masih kuat dalam ingatan adalah tentang kesanggupan saya meredah hujan lebat ke perpustakaan agar tidak menghampakan hasrat seorang siswi untuk membuat ulangkaji bersama. Siswi itu telah menjadi sejarah dalam hidup saya dan dia adalah pemberi motivasi untuk saya mengorak langkah jauh ke hadapan. Seperti yang telah saya lakukan hari ini. Mungkin bila berada di gorllewin semula, saya akan terbayang segarnya waktu-waktu berada di kawasan tersebut.

Amalan menjelang peperiksaan:-
Semua orang merasakan saat-saat menjelangnya peperiksaan adalah sesuatu yang mencemaskan, tertekan dalam pelbagai aspek dan tidak kurang dengan fikiran yang rungsing. Boleh atau tidak menjawap soalan peperiksaan, semuanya bermain-main di dalam minda. Hal ini menjadikan mereka sentiasa rapat dengan Maha Pencipta. Memohon kepadaNya supaya diberikan ketenangan dan dipermudahkan setiap urusan. Ramai yang sanggup bangun di tengah malam untuk tahajjud dan solat hajat. Amalan yang sebelum ini mungkin jarang dilakukan, malah saya sendiri mengakui bertabiat seperti itu. Setiap kali peperiksaan semester akan bermula, saya akan menelefon ibu di kampung, memaklumkan tentang peperiksaan dan berharap beliau dapat mendoakan kejayaan saya. Begitu juga dengan kawan-kawan, saya memohon diampunkan salah silap kerana mungkin dosa yang telah dilakukan sesama kita akan menjadi penghalang kepada penumpuan di dalam dewan peperiksaan. Pada para pensyarah, minta dihalalkan ilmu yang telah ditimba, mudahan dengan itu ada barakah bersama ilmu tersebut.

N/K: Selamat menghadapi peperiksaan kepada semua pelajar Swansea University juga teman-teman di Malaysia. Semoga Allah s.w.t mempermudahkan setiap urusan kita di dalam dewan peperiksaan. Buatlah persiapan seawal dan serapi mungkin. Juga, simpulkan pengharapan dengan doa dan tawakkal selepas semua usaha yang ada.

Peperiksaan itu sukar? Kesukaran dalam perjalanan hidup dinamakan pengalaman. Seandainya semua itu mudah, maka kehidupan tidak mempunyai apa-apa makna. Kesukaran itulah yang memberikan banyak hikmah dan pengajaran.

Berjuanglah atas usaha dan kemampuan diri. "Sesungguhnya barang sesiapa yang menipu antara kita, adalah bukan dikalangan kita (Hadis)"

"Ya Allah, tidak ada sesuatu pun yang mudah, melainkan sesuatu yang telah Engkau permudahkan. Dan Engkau menjadikan sesuatu yang sukar itu menjadi mudah, atas kehendakMu" (Doa ketika menghadapi peperiksaan dari Mishaari ibn Raashid al 'Efasy).

3 Comments:

  1. Atiey MN said...
    good luck utk semua :)
    Daniel Edzhan said...
    Bila ingat-ingat balik, time exam tu memang mengujakan, feel dia mmg susah nak dirasi lagi. Bagi aku exam tu x sgt memberikan kenangan manis, lain lah ko yang dpt 4 flat every semester. Mmg exam itu akan menjadi yg terindah....
    Eridzhuan Zhaieno said...
    Salam,

    Attey - Saya juga mendoakan kejayaan adik-adik ini yang tentunya bakal mengharumikan nama negara.

    Daniel - kejayaan ini mmg akan meninggalkan kenangan terindah dlm hidup, namun jangan lupa disebalik kejayaan itu ada juga jatuh bangunnya. I really miss my university dude...apalah khabar member2 kita.

Post a Comment