Kembali Seketika

Apa yang membuatkan saya terlalu lama tidak menjengah blog ini? Kesibukkan benar-benar menghimpit setiap sisi dan ruang. Hampir sebulan setengah blog ini terbiar tanpa sebarang wacana baru. Sepanjang itulah kehidupan saya padat dengan pelbagai kerenah. Komitmen untuk meneruskan blog ini semakin berkurang. Ia semakin nyata dengan pergerakkan waktu sehingga saya tertanya di mana motivasi untuk saya terus berada di sini. Namun saya tetap berharap diberikan kekuatan untuk terus membuat pengisian yang bermanfaat. Setiap sesuatu yang telah dimulakan, harus diteruskan sehinggalah nafas terhenti.

Sepanjang sebulan setengah ini, selain menghabiskan masa di Talbot, aktiviti mingguan saya banyak terisi dengan program ziarah. Aberswyth adalah lokasi pertama, menjejak kasih di tempat Abang Kasran bermukim 14 tahun yang lalu. Permandangan Aberswyth yang berbukit-bukit sesuatu kelainan, malah komuniti Melayu di sana lebih ramai berbanding Swansea. Seminggu lepas itu ke Haverforwest pula, bertandang ke teratak mewah Abang Mustapha dan Kak Ida. Kerana sudah berjanji akan ke rumah mereka sejak tahun lepas lagi, juga kerana teringinkan kuih seri muka buatan Kak Ida. Minggu berikutnya ke Cardiff dan Bristol melawat teman-teman yang berada di sana. Selepas balik dari Bristol, saya mulai sibuk dengan persiapan terakhir ACME 2010.

28 Mac 2010, saya bertolak ke Southampton untuk menghadiri ACME 2010. Saya singgah di London bertemu dengan Irfan yang berada di sana untuk menghadiri temuduga kerja. Empat hari berada di Southampton, hujang turun sepanjang hari. Banyak tempat yang tidak sempat dilawati, apatah lagi dengan jadual program ACME yang sememangnya terlalu padat. Sesi seminar berjalan setiap hari serentak dengan perbincangan program penyelidikan. ACME menjadi sesuatu yang penting buat penyelidik muda, tampil bersama idea dan teori baru dalam dunia finite element. Malah ianya menjadi platform utama dalam membina network kerja. Saya bertemu dengan kawan baru dan lama yang datang dari seluruh negara. Tahun ini, Durham dan Liverpool benar-benar pesaing hebat Swansea. ACME tahun ini suatu kenangan indah buat saya, mungkin menjadi yang terakhir.


Pemandangan dari hadapan kamar saya di Highfield Hall. Hujan rintik-rintik membasahi bumi Southampton sepanjang empat hari di sana.


Kamar saya 1010 dengan kunci automatik bernombor 8624. Percubaan saya untuk memahami jadual dan aturcara sepanjang ACME berlangsung.


Wolfe House tempat berlangsungnya ACME. Program di bahagikan kepada beberapa bidang antaranya computational geomachanics, computational biomechanics dan computational structural mechanics.


Muka keletihan dan berserabut selepas sesi pembentangan pada hari kedua. Saya orang keempat dalam sesi computational structural mechanics.


Aktiviti menjelajah Southampton Central. Di belakang saya berdiri megah Bargate yang menjadi saksi pembunuhan pembesar-pembesar England di zaman King Henry dalam perang Agincourt.


Hari keempat saya bertolak pulang dari Southampton sejurus makan tengahari. Perjalanan pulang ke Waterloo Station, kemudiannya ke Paddington mengambil train terus ke Swansea, sungguh meletihkan.

0 Comments:

Post a Comment