Antara Haru Dan Sebak

Haru juga hari ini sebab saya kerja tunggang terbalik. Semuanya tidak terurus disebabkan otak tidak berfungsi di tahap kecekapan yang sebenar. Pagi tadi ada perbincangan dengan Prof Feng berkenaan journal Acme yang perlu dihantar sebelum jumaat ini. Biasalah bagi saya dan Prof Feng berselisih pendapat dan pendekatan. Pemikiran orang muda seperti saya mana sama dengan pemikiran tahap profesional seorang professor. Bagi saya yang sukakan sesuatu yang baru, mungkin itu tidak kena pada tempatnya dalam sesetengah keadaan. Kena juga dengar pendapat dan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman. Masa perbincangan tadi, entah kenapa rasa mengantuk sangat. Beberapa kali menguap dengan selambanya di hadapan Prof Feng.

Selepas sembahyang maghrib, saya balik ke office untuk matikan komputer yang tidak henti-henti beroperasi sejak jumaat lepas. Sampai di rumah terus masuk bawah duvet, padamkan lampu dan tidur. Ya Allah, hamba Mu ini sangat bersyukur dengan nikmat istirehat. Sedangkan di waktu malam-malam sebegini ramai orang yang masih bersengkang mata mencari rezeki, saya pula dapat merasai waktu tidur yang lena. Dua minggu kebelakangan ini, saya hanya tidur tiga ke empat jam sehari. Memang banyak kerja yang hendak dilakukan, siang di office sambung bawa ke malam di rumah pula. Itu memang kerja rutin bagi mana-mana individu yang terlibat dalam bidang penyelidikan. Malam bagi saya memang sesuatu yang mengasyikkan untuk sesi membaca dan menulis. Begitu banyak ilham yang terbit tetapi tabiat ini tidak boleh diamalkan berterusan. Minda dan badan juga perlukan rehat yang secukupnya sedangkan Allah mencipta malam itu sesuai dengan fitrah untuk kita berehat. Tetapi jangan pula tidur berlebihan kerana itu sesuatu pembaziran.

Dua minggu lepas seperti yang sedia maklum, telah berlangsung Islam Awareness Week dengan tujuan untuk membetulkan persepsi orang ramai terhadap ajaran Islam dan peranan masjid. Ini sesuai dengan peranan masjid sebagai institusi penting dalam pengembangan agama Islam dan pusat tarbiah, tema kali ini lebih untuk mengajak non-Muslim memahami fungsi masjid yang bukan sahaja sebagai tempat beribadah. Pelbagai program seperi bicara ilmiah, perbincangan antara agama dan pameran telah diatur. Segala puji bagi Maha Pencipta Siang dan Malam, sambutan terhadap program ini sangat mengalakkan. Paling besar ertinya tahun ini, seorang lagi telah menyertai komuniti Islam di sini. Perasaan saya sebak bila mana David melafazkan kalimah syahadah seusai solat maghrib di Univ Mosg.


Discover Islam, sudut sains yang memaparkan ilmuan agung dan hasil kajian dalam pelbagai bidang. Ada dikalangan mereka adalah wanita, bukti kukuh yang menidakkan kemunduran wanita dalam Islam.


Terjemahan Al-Quran, naskah yang dijadikan hadiah kepada semua pengunjung tidak kira Muslim atau non-Muslim. Kerja reka pameran ini adalah 100% hasil tangan orang lelaki, jadinya tidaklah begitu kemas.


Sudut seni dan kaligrafi yang memaparkan keunikan seni Islam. Terdapat beberapa kaligrafi yang berusia ratusan tahun di bawa khas untuk tatapan umum.


Pandangan Islam terhadap Jesus atau Isa serta bondanya Mariam. Di sudut yang lainnya ditonjolkan pandangan Islam terhadap wanita dan isu-isu semasa berkaitan politik ekonomi dan pembangunan ummah.


Seorang pakar ekonomi dan politik yang bukan beragama Islam menyampaikan ceramah di Univ Mosg berkenaan situasi politik dunia Barat dan Timur Tengah.


Masjid bukan sahaja tempat beribadah tetapi menjadi medan ilmu bagi orang Islam dan non-Muslim. Tiada halangan untuk mereka sebagaimana yang berlaku di Malaysia.

0 Comments:

Post a Comment