Diari Baru

Julai ini bakal menjadi titik permulaan banyak perkara yang membawa makna besar dalam hidup saya. Bukan sahaja kerana 1 Julai merupakan hari pertama dalam diari baru 2009-2010, tetapi lebih daripada itu, saya melangkah ke arah hidup yang lebih dinamik. Saya melihat kembali prestasi sepanjang 6 bulan yang telah berlalu. Ada yang boleh dibanggakan namun banyak juga sebaliknya. Walau apapun, semua perkara yang telah berlalu akan menjadi guru yang terbaik dalam hidup. Semua pengalaman yang telah dikutip akan menjadi panduan hidup yang sangat berguna untuk masa mendatang.

Diari baru tahun ini dimulakan dengan kehidupan baru di rumah baru. Saya kini tinggal berseorangan di flat dua tingkat. Choi Kiwook, teman berbangsa Korean yang sebelum ini menyewa bersama telah berpindah ke London. Kota metropolitan itu sememangnya sesuai dengan jiwa beliau. Justeru itu, saya membuat keputusan tinggal berseorangan di rumah baru. Ramai yang bertanya kenapa tidak tinggal bersama Malaysian yang lainnya. Saya bukan mahu menjadi kera sumbang tetapi untuk mencari pengalaman. Pencarian makna hidup itu buat saya perlu dijalani dengan suasana yang berbeza-beza. Saya ingin menguruskan hidup, rumah dan keperluan saya dengan kesesuaian sendiri.

Minggu terakhir saya dan Kiwook sebagai housemate kami isi dengan banyak aktiviti. Insya'allah akan menjadi sebuah kenangan manis. Saya dan Kiwook sepanjang menjadi sahabat telah banyak belajar menghormati budaya dan hak masing-masing. Walaupun ada banyak pergeseran pendapat terutamanya yang menyentuh persoalan agama, itu tidak menjadi jurang untuk menjadi kawan walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza. Selepas ini pastinya saya akan merindui sushi dan maki yang selalu disediakan oleh beliau. Saya berharap beliau akan terus berjaya bersama kehidupan serba mencabar di London.
Saya tinggalkan 16 Mirador Crescent dengan pelbagai kisah. Susah senang hidup sebagai perantau di negara orang memang begitulah adatnya. Minggu ini rumah baru saya di 10 The Grove masih tunggang-langgang belum siap berkemas. Banyak perkara yang saya listkan untuk perhatian landlord masih belum diambil tindakan. Saya berharap hujung minggu ini ada masa untuk saya membereskan barang-barang yang belum tersusun. Maklumlah hidup bujang, kalau boleh semuanya mahu ala kadar dan serba ringkas.

Pertengahan Julai ini juga akan menjadi hari yang teristimewa buat saya untuk dicatatkan di dalam diari baru. Hari graduasi MPhil yang akan berlangsung di Brangwyn Hall sudah boleh dibilang dengan jari. Walaupun tanpa kehadiran ayah dan ibu yang selama ini telah begitu banyak berkorban, saya benar-benar terasa bahang kemeriahan hari tersebut. Saya belum membuat sebarang persiapan namun sudah merancang untuk mengenakan sepasang baju melayu lengkap tanpa songkok. Ini benar-benar akan menjadi sebuah memori indah.

3 Comments:

  1. Anonymous said...
    ya.. sangat setuju.. pengalaman hidup adalah guru terbaik untuk kita..

    selamat menjalani kehidupan baru.. semoga Allah memberi semua yang terbaik untukmu, sahabat.. amein.
    CikguZue said...
    kalau lengkap dgn songkok lagi best,kan.
    moga lancar segalanya...amin.
    Daniel Edzhan said...
    All the best bro. Sorry x dpt nak bertandang ke Swansea for ur graduation day, I will be there next year for your phd ceremony. So sorry.

Post a Comment