Arah Di Jalan Buntu

Manusia tidak dapat lari daripada belenggu masalah. Ketika itulah jiwa berada dalam kegelisahan dan fikiran dalam kebinggungan. Sesetengahnya cuba menampakkan kekuatan fizikal, namun masalah tetap tidak dapat disembunyikan. Hanya dengan iman yang teguh dan hati yang tenang, manusia mampu menghadapi saat-saat yang menduga ini.

Lapangkanlah dada dan bermuhasabah diri kerana dengan menginsafi kesilapan diri sendiri, manusia tidak mudah menjadi sombong malah kekusutan fikiran akan mudah terungkai. Dengan hati yang selesa, mudah-mudahan kita mampu mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Renungkan kehidupan yang sedang dilalui dengan mata hati. Kita akan mendapati bahawa dunia ini tiada satu pun yang sempurna. Tetapi jika kekurangan yang ada itu dapat diperbaiki, lakukanlah kerana itulah sebenarnya kejayaan dalam hidup yang boleh dicari.

Selalulah beringat bahawa yang dituntut daripada setiap diri manusia dan yang perlu dilakukan adalah bekerja dengan ikhlas dan halal untuk sebuah kehidupan. Manakala hasil akhir daripada kesungguhan dalam melakukan pekerjaan itu datang daripadaNya, sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Teladani kisah-kisah perjalanan insan-insan yang telah berjaya. Perhatikan perjalanan hidup mereka kerana di dalamnya pasti ada cerita kekurangan, kegagalan dan tidak semua yang diusahakan berhasil. Motivasi melalui teladan akan memberikan kita peringatan bahawa sesungguhnya setiap yang kita lakukan perlu berusaha dan bertawakal kepada Tuhan.

Halusi sifar-sifat kesempurnaan dan kemampuan yang kita miliki. Teliti nikmat dan anugerah yang telah dikurniakan kepada kita. Disitu pasti kita memperolehi jawapan bahawa bukan sifat-sifat kelemahan dan kekurangan sahaja yang ada pada diri. Gunakan akal yang waras dan pertimbangan yang bijak apabila berhadapan dengan pelbagai masalah. Adakalanya kita harus mengerjakan satu demi satu masalah tersebut atau kita tidak mampu melakukannya sama sekali. Renungkanlah mana yang lebih utama untuk dilakukan. Tentunya kita tidak memiliki pilihan ketiga. Jika ada, nescaya manusia sentiasa beruntung. Lakukan pilihan dengan pertimbangan yang bijak dan beranilah bertindak. Sesungguhnya dengan berserah jiwa kepada Dia, pasti kita akan mendapat petunjuk yang terbaik.

Apabila kita menginginkan kesempurnaan dan sesuatu yang ideal, maka cara mencapainya bukan hanya dengan berhenti, melihat dan menunggu. Lakukanlah sesuatu kerana bulan tidak akan jatuh keriba. Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang sehinggalah dia berusaha mengubahnya. Sentiasalah bersyukur atas setiap rezeki yang telah dianugerahkan. Apabila mengalami kegagalan dalam suatu pekerjaan, berdoalah kepadaNya. Pohonlah balasan yang baik atas musibah yang dihadapi dan mohonlah ampun kepadaNya atas semua dosa-dosa yang telah dilakukan. Ketahuilah setiap musibah yang menimpa manusia ada hikmahnya.

3 Comments:

  1. Daniel Edzhan said...
    Kita mampu merancang, namun sebaik-baik perancangan adalah ketetapan dari Yang Maha Kuasa. Jangan mudah putus asa dgn rahmat Allah. Kuatkan semangat, bro.
    Eridzhuan Zhaieno said...
    Salam,

    Daniel - saya berdoa ke hadratNya moga dilimpahkan petunjukkan. Sesungguhnya saya percaya segala yang baik itu semuanya datang daripadaNya dan yang buruk itu adalah kerana kelemahan manusia.
    Atiey MN said...
    semoga Dia membawa kita keluar dri setiap kebuntuan :)

Post a Comment